Senggugut atau istilah perubatannya
dipanggil dismenorea kebiasaannya merujuk kepada kesakitan yang dialami semasa
permulaan haid.
Ini mungkin lebih teruk semasa dua hari pertama dan tidak semestinya akan
dialami setiap kali kedatangan haid. Kesakitan yang dirasai ketika datangnya
haid disebabkan oleh penguncupan dinding rahim yang amat kuat.
Proses ini bertujuan mengeluarkan ketulan
darah haid yang bercampur dengan sedikit tisu daripada selaput dinding rahim
(selaput endometrium).
Darah ini perlu dikeluarkan melalui saluran pangkal rahim atau serviks.
Kebiasaannya, saluran pangkal rahim yang dimiliki oleh seorang gadis remaja
masih sempit. Oleh sebab itu ketulan darah tersebut agak susah untuk
dikeluarkan.
Secara fisiologinya, semasa terjadinya
haid, berlaku penguncupan dinding rahim yang begitu kuat disebabkan oleh
sejenis hormon yang dikenali sebagai 'prostaglandin'. 'Prostaglandin'
adalah daripada sejenis kumpulan molekul lipid yang berasal daripada asid lemak
dan peranannya sangat penting di dalam tubuh.
Setiap 'prostaglandin' ini mengandungi 20
atom karbon. Ini menjadi pengantara serta memberi banyak kesan terhadap
psikologi. Oleh sebab itulah kesakitan terasa dan jika ia dihasilkan secara
berlebihan maka terjadilah senggugut. 'Prostaglandin' yang berlebihan akan
mengakibatkan rasa mual, cirit-birit, muntah serta sakit kepala. Lazimnya,
kesakitan akan reda dua atau tiga hari kemudian.
Faktor lain seperti diet dan suasana
persekitaran turut memainkan peranan. Diet yang berlemak, rendah protein dan
rendah serat boleh meninggikan risiko untuk anda mengalami senggugut.
Pengambilan gula yang banyak dan alkohol serta kopi semasa haid boleh
mengakibatkan dismenorea.
Wanita yang merokok lebih berisiko untuk
mengalami dismenorea berbanding yang tidak merokok. Rehat yang tidak
mencukupi dan tekanan tinggi di tempat kerja serta sekolah boleh mengganggu
keseimbangan bahan kimia di dalam badan anda dan seterusnya mengakibatkan
dismenorea.
Dismenorea primer boleh dirawat dengan ubat
tahan sakit seperti 'ibuprofen' yang membantu menghalang penghasilan
'prostaglandin'. Dalam kes tertentu, ubat-ubatan yang mengandungi hormon boleh
membantu. Senaman, nutrisi yang baik serta pengurangan tekanan juga merupakan
beberapa amalan penting yang tidak harus dipandang ringan.
© Utusan Melayu (M) Bhd